Donald Trump – Motivasi Perniagaan?


  - 22 Feb 17
  105 : 1

Suka atau tidak, Donald Trump merupakan seorang ahli perniagaan yang memiliki kemahiran memimpin yang tinggi. Bukanlah tidak cakna akan isu perkauman, anti-muslim dan juga politik, namun insan yang bernama Trump ini telah berjaya menjadi seorang ikon perniagaan yang unggul pada dekad ini.

Dunia perniagaan telah mengenali dan mengetahui kejayaan yang diraih oleh beliau lebih-lebih lagi kemunculannya dalam rancangan realiti televisyen The Apprentice.

Selain itu, topik mengenai figura bernama Donald Trump ini telah menjadi bualan hangat terutamanya bagi rakyat Amerika Syarikat lebih-lebih lagi setelah kemenangannya pada pilihan raya semalam.

Apa yang dapat diteliti daripada ahli perniagaan ini sehinggakan beliau telah dikenali seantero dunia? Berikut merupakan pengajaran dari sudut perniagaan berdasarkan ideologi-ideologi yang pernah beliau perkatakan.

#1 – Membuat Keputusan

“Sometimes your best investments are the ones you don’t make.”

Apabila berbicara mengenai perniagaan, Trump dikenali dengan kehebatannya dalam membuat keputusan. Secara kasarnya, beliau membuat keputusan seakan melepaskan meriam tua dan kelihatan mengambil risiko yang tinggi.

Apabila mendengar ucapan-ucapan beliau, sememangnya kelihatan terlalu konservatif terhadap menentukan keputusan dalam perniagaan. Beliau dilihat berkecenderungan membeli hartanah yang tidak menentu keuntungannya.

Oleh itu, kunci kejayaannya di sini ialah dengan mengambil risiko tetapi memastikan risiko itu diketahui kesan dan akibatnya.

#2 – Penentuan Matlamat

“You have to think anyway, so why not think big?”

Manusia yang menentukan matlamat perniagaannya selalu memiliki matlamat yang BESAR dan akan berusaha untuk mengatasi segala cabaran yang bakal ditempuh. Trump juga tidak terkecuali.

Beliau memiliki keazaman yang tinggi yang menyebabkan dirinya mampu melunaskan segala impiannya. Memiliki matlamat yang jelas itu satu kewajipan sekiranya ingin mencapai perkara yang besar dalam hidup anda.

#3 – Keyakinan

“Show me someone without an ego, and I’ll show you a loser.”

Anda boleh pertikaikan bahawa Donald Trump merupakan seorang yang angkuh dan tidak keterlaluan untuk melabelkan beliau sebagai seorang yang membangga-banggakan dirinya sendiri.

Namun, perlu diketahui bahawa dalam perniagaan, keyakinan yang tinggi diperlukan untuk memimpin secara efektif. Boleh anda imbas kembali, bila kali terakhir anda dipengaruhi oleh seseorang yang kurang keyakinan? Pastinya anda turut ‘kurang yakin’ akan dirinya.

Keyakinan merupakan bahagian yang paling kritikal untuk ditangani terutamanya dalam perundingan yang kompleks.

#4Karakter Yang Bijak Menghakimi Orang

Kebolehan untuk menilai bakat seseorang kemungkinan merupakan kemahiran yang sukar untuk diperoleh. Sekiranya anda memiliki bakat tersebut, pastinya anda akan dikelilingi dengan insan-insan yang bermotivasi tinggi dan berkebolehan.

Walaupun The Apperentice hanyalah rancangan realiti di televisyen, pemimpin yang berorganisasi perlu memilih mereka yang berpotensi besar untuk bekerja di syarikatnya.

Mungkin perkataan kegemaran “You’re fired!” yang sering digunakan oleh beliau dalam rancangan realiti tersebut menjadi satu ‘pengenalan’ untuk pekerja-pekerja yang tidak menampilkan prestasi yang baik semasa menjalankan tugas.

Donald Trump secara keseluruhannya tidak menampilkan perbezaan yang ketara berbanding pemimpin-pemimpin yang lain. Barangkali, jumlah kekayaan dan personaliti yang dimilki beliau menampakkan perbezaan berbanding tokoh-tokoh lain.

Mungkin juga mimik mukanya yang angkuh sangat menjengkelkan manusia yang melihat namun itu memberi ‘kenangan yang abadi’ dalam ingatan mereka. Tidak kira negara apa yang anda diami, fakta tetap mengatakan bahawa Donald Trump merupakan seorang ahli perniagaan yang sangat efektif dalam berniaga.