Jump to content

Kuasa Dolar Singapura


Baryon
 Share

Recommended Posts

133667701_KuasaDolarSingapura.thumb.webp.61a0c25a2359c5b17147eb805c363439.webp

Johor Bahru: Setiap kali cukup bulan, hampir semua rakyat negara ini yang merentas sempadan demi mencari rezeki berbentuk mata wang SGD (dolar Singapura) mampu membawa pulang purata sumber pendapatan antara SGD1,900 (RM6,095) hingga SGD3,000 (RM9,624) dengan hanya bekerja sebagai pekerja am.

Bagaimanapun, pelbagai cabaran selain penat lelah setiap kali berulang-alik ke republik itu perlu dilalui untuk mendapatkan pendapatan berkenaan yang disifatkan lebih banyak berbanding bekerja dengan syarikat tempatan.

Berkongsi pengalaman bekerja di Singapura, Muhamad Hanaffi Mustafa, 30, berkata, demi menyahut cabaran bagi memperoleh pendapatan menyamai eksekutif yang bekerja di Malaysia serta menimba pengalaman, rutin hariannya bermula seawal jam 6 pagi.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat di Alexandra Road, Singapura mula bekerja pada jam 8 pagi hingga 5.15 petang.

Katanya, dia memiliki pengalaman bekerja di Singapura selama lapan tahun dan kini pendapatan kasarnya kira-kira SGD3,000 (RM9,624) sebulan.

"Memang pada permulaannya saya menaiki pengangkutan awam, namun saya mendapati ia tidak sesuai dan memakan masa lebih lama untuk sampai ke tempat kerja.

"Oleh itu, saya memilih untuk menunggang motosikal.

"Cabaran utama penggunaan motosikal adalah menghadapi kesesakan di Tambak Johor setiap hari hingga kadangkala hampir dua jam mengharunginya.

"Misalnya sekiranya saya bekerja lebihan masa sehingga jam 9.15 malam, saya sampai ke rumah di Pasir Gudang pada jam 11 malam dan walaupun ia bukan waktu puncak, saya tidak mampu mengelak kesesakan.

"Tidak dinafikan banyak kes kemalangan berlaku membabitkan penunggang motosikal tempatan yang pulang bekerja kerana mereka letih dan tidak cukup tidur malah ada yang terkorban dalam nahas jalan raya.

"Kami juga tidak boleh tinggal di rumah kenalan di Singapura kerana negara itu menetapkan peraturan pemegang permit kerja tidak boleh menyimpan kenderaan berpendaftaran asing melebihi 18 jam, jadi mahu atau tidak kami perlu balik ke rumah," katanya.

Isterinya yang turut bertugas di Singapura, Nuryuana Mohd Hairi, 35, berkata, dia bekerja di republik itu demi membantu ahli keluarga termasuk ibu bapa.

Menurutnya, dia yang masih menyewa di Singapura berulang-alik ke Johor Bahru seminggu atau dua minggu sekali.

Katanya, dia bekerja sebagai pembancuh teh dan bekerja lapan hingga 10 jam sehari di sebuah syarikat swasta.

"Pekerjaan saya bukan hanya membancuh minuman tetapi saya juga perlu membuat persiapan bagi pengendalian mesyuarat selain perlu berbahasa Inggeris.

"Pendapatan saya lebih SGD2,000 (RM6,416) sebulan namun saya perlu membayar kos sewa bilik SGD600 (RM1,924) sebulan.

"Bagaimanapun saya mampu berjimat dan menabung kerana selain bekerja di Singapura, saya dapat membiayai penyertaan kursus berkaitan perniagaan tanpa bantuan pihak lain kerana saya bercadang menceburi perniagaan pada masa depan di Johor.

"Saya yang berasal dari Batu Pahat bercadang bekerja sehingga usia 50-an dan ingin membeli aset seperti rumah dengan sumber pendapatan diperoleh di Singapura," katanya yang memiliki pengalaman 13 tahun bekerja di republik itu.

Penyelia kawalan keselamatan, M Jason Thachina, 31, berkata, dia yang juga pemegang diploma universiti tempatan memilih bekerja di Singapura demi menambah wang simpanannya.

"Saya berasal dari Perak dan sudah bekerja di sini selama tiga tahun dan ketika pandemik Covid-19, saya pernah kehilangan pekerjaan sebelum mendapat tawaran kerja baharu.

"Misalnya pendapatan kasar saya sebulan adalah SGD3,000 (RM9,624) dan apabila ditukar, ia hampir RM10,000 sebulan.

"Selain perlu menanggung kos sara hidup di Singapura, saya yang bekerja selama 12 jam bagi empat hingga lima hari seminggu juga memiliki tanggungan sendiri di Malaysia.

"Berkaitan sama ada waktu tidur kami yang bekerja di Singapura mencukupi atau tidak, ia bergantung kepada waktu bekerja dan masa perjalanan untuk pulang dari tempat kerja ke rumah.

"Kos sewa bilik yang paling rendah di Singapura adalah SGD400 (RM1,283) dan seseorang yang tinggal dan bekerja di sini perlu membelanjakan tambahan SGD100 (RM320) sebulan untuk pengangkutan selain SGD400 (RM1,283) bagi makanan," katanya.

Sementara itu, pegawai khidmat pelanggan, P Sarojini Naidu, 35, berkata, dia memilih bekerja di Singapura kerana tawaran pendapatan lumayan berbanding syarikat tempatan.

599785444_Takkisahjaditukangcucikeranagajibesar.thumb.webp.dcdbcf09bd102023247d03e5eced8cab.webp

"Pemilihan pekerja tidak begitu sukar asalkan mereka boleh berbahasa Inggeris selain bersedia bekerja lebih masa.

"Ini kerana kebanyakan kerja yang ditawarkan memerlukan pekerja untuk bekerja dalam tempoh 12 jam sehari.

"Malah, pengambilan juga dilakukan mengikut prosedur ditetapkan membabitkan permit kerja sah. Majikan di sana tidak mahu mengambil risiko termasuk menggaji pekerja secara haram," katanya.

Beliau berkata, beberapa sesi temu duga juga dilakukan untuk menyaring warga tempatan sebelum diserapkan masuk ke syarikat berkaitan di republik itu.

Katanya, faktor gaji yang lebih tinggi menjadi keutamaan wdarga tempatan kerana rata-rata mereka mahukan 'duit lebih' berbanding bekerja dalam sektor sama di Malaysia.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2022/08/870110/kuasa-dolar-singapura-metrotv

Link to comment
Share on other sites

Create an account or sign in to comment

You need to be a member in order to leave a comment

Create an account

Sign up for a new account in our community. It's easy!

Register a new account

Sign in

Already have an account? Sign in here.

Sign In Now
 Share

  • Recently Browsing   0 members

    • No registered users viewing this page.
  • Tell a friend

    Love Gempak Network? Tell a friend!
  • Member Statistics

    • Total Members
      55
    • Most Online
      142

    Newest Member
    nazz8781
    Joined
×
×
  • Create New...